TOK baruk steadi, main berik nombor phone terus.

Hubungi Saya Di 012-898 3366 Kalau Ada Projek Bermasalah – Talib

KERAJAAN negeri sedia menerima sebarang aduan daripada orang awam sekiranya wujud unsur rasuah atau penyelewengan di dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata kementeriannya bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak akan menyiasat setiap aduan atau maklumat sahih yang diberikan.

“Kalau ada projek yang bermasalah, boleh beritahu saya di 012-898 3366…kami akan bertindak sekiranya ada projek yang melibatkan penyelewengan, sama-sama kita memantau dan membanteras apa jua kesalahan dalam pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

“Saya yakin rakyat menyokong usaha kita untuk membanteras mana-mana penyelewengan ke atas dana projek pembangunan kita,” katanya ketika ditemu-bual selepas merasmikan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2018 Peringkat SPRM Sarawak, di ibu pejabat SPRM Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, Talib menegaskan bahawa tidak ada cara untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak amnya menyeleweng dana daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun.

Beliau menjelaskan ia kerana, dana tersebut adalah disalurkan kepada Pejabat Residen, yang kemudian akan melaksanakan dan memantau projek.

“Jadi, ini tidak ada kena mengena dengan YB. Tetapi ada tuduhan mengatakan duit tersebut masuk poket YB…macam mana nak masuk poket, sedangkan sudah dijelaskan bahawa duit tersebut adalah disalurkan melalui Pejabat Residen dan projek turut dilaksanakan oleh Pejabat Residen.

“Tidak ada cara untuk YB atau pegawai-pegawai terlibat hendak meraih keuntungan secara tidak betul, lagipun semua projek adalah ditawarkan secara tender terbuka,” ujarnya.

Mengenai pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sarawak, Talib berkata banyak projek telah dilaksanakan dengan baik tanpa berlaku sebarang unsur rasuah.

“Masalah tidak dapat dielak tetapi jumlah yang kecil sahaja (projek bermasalah), kalau jumlah yang besar dilaksanakan dengan baik bermakna sistem pemantauan itu berkesan.

“Cuma ada orang yang membuat tuduhan tidak tentu arah melalui Facebook tetapi apabila disiasat dan ditanya projek mana, tidak dijawab…tindakan sebegini hanya cakap kosong sahaja untuk memburukkan orang lain dan kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan projek Air Pancut Berirama Darul Hana yang menimbulkan persoalan dari segi kos kerana mencecah RM31 juta, Talib berkata ia sudah melalui audit dengan baik dan tidak sepatutnya menjadi isu lagi.

Manakala berhubung dakwaan dalam Facebook bahawa air pancut tersebut tidak berfungsi dengan baik baru-baru ini, beliau berkata ia tidak benar kerana terdapat penyelenggaraan terhadap ikon baharu pelancongan di Tebingan Kuching itu. – UB

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2094156517297094&set=a.166264470086318&type=3&theater

#iamSarawakian #IbuPertiwiku #GPS #PBB