KUCHING: Imej burung enggang dan nama Sarawak akan menghiasi beberapa pesawat AirAsia yang melakukan penerbangan serantau di Asia Tenggara bermula Januari tahun depan.

Paparan di badan atau ‘livery’ dan promosi di bahagian dalam pesawat itu adalah sebahagian daripada platform yang digunakan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam Kempen Melawat Sarawak 2019 untuk mempromosikan negeri ini ke mata dunia, sekali gus mencapai sasaran lima juta pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor berkata, sebuah pesawat yang mempunyai ‘livery’ di bahagian badannya adalah untuk penerbangan domestik dan antarabangsa, manakala lima lagi pesawat memaparkan promosi Sarawak di bahagian dalamannya (petak bagasi dan dulang), iaitu membabitkan tiga penerbangan domestik dan dua ke Thailand.

“Pesawat-pesawat AirAsia ini akan terbang secara serantau di seluruh Asia Tenggara untuk tempoh dua tahun, sambil dihiasi dengan reka bentuk berwarna yang menggambarkan burung enggang dan nama Sarawak.

“Penggunaan imej ini diyakini akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi yang penuh dengan kehidupan, keterujaan dan keseronokan dengan banyak tarikan dan produknya menerusi budaya, pengembaraan, alam sekitar, perayaan dan makanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Aircraft Livery antara STB dan rakan strategik, Laduni Services Sdn Bhd untuk Kempen Melawat Sarawak 2019 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Upacara menandatangani MoA tersebut yang disempurnakan oleh Sharzede dan Pengarah Urusan Laduni Services Syed Anuar Syed Ahmad disaksikan oleh Pengerusi STB Datuk Abdul Wahab Aziz serta ahli Lembaga Pengarah AirAsia Dato Abdul Aziz Abu Bakar.

Selain itu, Sharzede berkata, STB juga telah memetakan strategi untuk mempromosikan Sarawak di dalam dan luar negara, dengan meningkatkan pendekatan pemasaran melalui platform digital.

“60 hingga 70 peratus pelancong masa kini menggunakan ‘online’ dan kami memanfaatkannya dalam sebahagian daripada cara kami mempromosikan Sarawak,” ujarnya.

Di samping itu katanya, Kempen Melawat Sarawak 2019 juga diperhebatkan lagi dengan lagu tema yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor tanah air, Dayang Nurfaizah selaku duta dalam mempromosikan Sarawak.

Beliau menjelaskan, lagu tersebut disusun sepenuhnya oleh anak Sarawak yang memaparkan unsur budaya, pengembaraan, makanan, alam dan perayaan membabitkan pelbagai etnik di negeri ini.