PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diadakan buat julung kalinya di sini semalam, dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg antara mereka yang menghadiri acara bersejarah ini.

Jawatankuasa Khas Kabinet itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddi Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Selain itu, turut serta ialah Peguam Negara Tommy Thomas bersama Peguam Negeri Sabah Datuk Zaleha Rose Pandin, Peguam Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong dan ahli akademik Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Liew menerusi kenyataan akhbar berkata, mesyuarat itu selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan untuk menyemak pelaksanaan MA63.

“Usul-usul Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah dibentangkan oleh saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dan Jawatankuasa Khas Kabinet juga menerima taklimat disampaikan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Liew memberitahu isu-isu yang dibentangkan termasuklah cadangan mengembalikan semula hak autonomi kerajaan Sabah dan Sarawak dalam beberapa perkara seperti kewangan, eksplorasi minyak, perlombongan dan gas, perundangan, tanah dan hasil daripada tanah, kerja raya persekutuan dan negeri, maritim dan perikanan, sumber manusia dan perkhidmatan awam negeri.

Selain itu katanya, pindaan kepada Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan kepada fasal sebelum pindaan pada 1976 turut dibincangkan.

Tambahnya, jawatankuasa itu akan bersidang dua bulan sekali dan diberi masa enam bulan dari tarikh mesyuarat semalam untuk membentangkan laporan akhir.

“Selaras dengan prinsip kerajaan Sabah dan kerajaan Sarawak sebagai rakan sekutu kepada Semenanjung, Jawatankuasa Khas Kabinet hari ini (semalam) turut meluluskan usul pelantikan ahli tambahan dari Sabah dan Sarawak.

“Ahli tambahan ini ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Gerawat Gala, Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan bekas Peguam Besar Sabah Datuk Stephen Foo Kiat Shin.