MIRI: Kerajaan Sarawak membangunkan 2,500 rumah mampu milik di bawah projek perumahan sendiri, Rumah Pertiwiku dengan harga RM90,000 hingga RM150,000.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata harga tersebut mampu dibeli kumpulan berpendapatan rendah selepas diberi subsidi satu pertiga daripada kos sebenar.

Katanya, projek perintis itu dilaksanakan di Kemunyang, Sibu, Jepak di Bintulu, Niah-Lambir di Miri dan Kuching dibangunkan kerajaan negeri mengikut cara sendiri di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Di Kemunyang sahaja lebih 300 unit rumah itu dibangunkan dan jumlah keseluruhannya pada tahun ini, saya percaya kita mampu bangunkan dari 2,000 hingga 2,500 unit rumah untuk rakyat berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Peringkat Negeri di sini semalam.

Abang Johari berkata, rakyat yang mempunyai gaji antara RM800 hingga RM2,500 layak memohon projek Rumah Pertiwiku, salah satu daripada inisiatif Team Abang Jo.

“Ini adalah strategi jangka panjang kita membantu rakyat memiliki rumah dan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kita melaksanakan dasar polisi dari sudut negeri Sarawak menggunakan cara sendiri,” tambahnya.

Syarikat Mutiara Mortgage and Finance pula menyuntik dana menyediakan pinjaman kepada pembeli rumah itu khususnya berpendapatan rendah.

Terdahulu semasa mesyuarat ketiga bagi peringkat negeri selepas Kuching dan Bintulu, Abang Johari diberi taklimat oleh empat kementerian iaitu Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pemodenan Pertanian, Infrastuktur dan Utiliti.

Katanya, antara yang dilaksanakan ialah empat projek besar memberi impak besar kepada rakyat iaitu jambatan-jambatan di jalan pesisiran membabitkan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Lassa, Jambatan Rambungan dan Jambatan Kemena.

“Jambatan ini penting kerana menghubungkan jalan pesisir dibangunkan bagi memantapkan rangkaian hubungan jalan negeri ini seiringi dengan usaha Kementerian Pemodenan Pertanian membuka kawasan baharu menerusi taman pertanian dan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian,” ujar beliau.

Abang Johari kemudian memberi pujian kepada kementerian dan kumpulan pelaksana mampu melaksanakannya mengikut jadual di samping 324 projek di peringkat akar umbi yang mempunyai peruntukan RM6.42 bilion memberi impak besar kepada rakyat.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Han.

Terdahulu, Abang Johari turut melancarkan ‘booklet’ ‘Demi Rakyat Sarawak-Inisiatif Team Abang Jo’ di sini.

Kredit Sumber : UtusanBorneo