Kerajaan negeri akan menyokong dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mana-mana kes rasuah yang melibatkan pegawai kerajaan atau menteri.

KUCHING: Unit Integriti dan Ombudsman Jabatan Ketua Menteri tidak akan berpihak kepada mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan salah guna kuasa.

Menterinya Datuk Talib Zulpilip berkata, beliau yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas dengan baik dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“Dalam soal integriti tidak boleh berbaur politik dan sesiapa sahaja yang salah akan kita siasat.

“Kita sokong SPRM dan jika wujud elemen politik dalam integriti, rosaklah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Plogging Integriti di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini semalam.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, turut mengulangi pesanan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai integriti dan akauntabiliti dalam jalankan tugas.

“Pertama kali beliau (Abang Johari) jadi menteri sekitar tahun 1988 saya adalah setiausaha tetapnya dan selama 30 tahun saya memerhati beliau seorang yang mengamalkan konsep integriti.

“Belia amal, cakap dan buat dan itu yang harus kita ingat dalam diri masing-masing ,” katanya sebagai peringatan kepada semua agar tidak terlibat dalam perbuatan salah guna kuasa ini.

Ditanya mengenai laporan rasuah yang dibuat terhadap salah seorang menteri muda berkaitan isu tanah rakyat baru-baru ini, Talib berkata beliau tidak dapat mengulas kerana tiada laporan rasmi diterima.

Menteri muda tersebut dilaporkan mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat yang didakwa memiliki lebih 16,000 hektar tanah di Simunjan.

Bagaimanapun, menteri muda berkenaan menafikan laporan tersebut dan akan mengadakan perjumpaan dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan fakta sebenar.