BINTULU: Pengurusan sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu melaksanakan program terancang melalui kerjasama yang menekan kepada aspek kerohanian pelajar agar seimbang dengan pencapaian akademik.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, kejayaan sesebuah sekolah itu tidak hanya atas kerjasama baik antara pendidik dan ibu bapa bahkan keprihatinan mereka memastikan program serta aktiviti anak-anak di sekolah berjalan lancar.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena hari ini mampu melahirkan para pelajar yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum kerana warga pendidik dan ibu bapa sentiasa bekerjasama,” ujarnya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Kemena di Dewan Serbaguna sekolah itu semalam.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga SMK Kemena dan ibu bapa yang berusaha memartabatkan serta memperkasakan pendidikan anak-anak di sini secara berterusan.

Pada majlis sama, Talib mengumumkan sumbangannya berjumlah RM10,000 kepada PIBG untuk menjayakan program dan aktiviti bermanfaat kepada golongan pelajar dan warga sekolah.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Kemena Mastura Mohammad Mansor menekankan kepentingan kerjasama dan sokongan ibu bapa untuk merealisasikan sasaran sekolah mencapai kejayaan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Beliau menyeru ibu bapa agar terus memberi sokongan kepada setiap program dan aktiviti sekolah untuk manfaat anak-anak mereka.

Katanya, tanpa kerjasama dan sokongan ibu bapa, ia akan menjejaskan program serta aktiviti yang dirancang untuk pelajar, sekali gus mengalu-alukan kehadiran ibu bapa ke sekolah untuk membincangkan kepentingan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan sahsiah diri.

“Saya percaya dan yakin SMK Kemena mampu muncul sebagai sebuah sekolah yang cemerlang dan menjadi sekolah pilihan untuk anak-anak meneruskan pengajian persekolahan mereka pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan ibu bapa agar memberi sokongan penuh kepada aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis dengan memastikan anak-anak mereka terlibat secara aktif serta hadir sepanjang aktiviti perjumpaan dijalankan.

“Ibu bapa perlu memahami kepentingan markah 10 peratus melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sahsiah dan Kokurikulum (PAJSK) yang merupakan satu syarat untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi,” jelasnya.

Pada tahun ini katanya, SMK Kemena telah dicalonkan untuk beberapa anugerah iaitu Anugerah Cemerlang Pengurusan Kokurikulum (SMK Luar Bandar), Anugerah EKSA – Ekosistem Kondusif Sektor Awam, Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang, Sayangi Sekolahku, MyDMBS (Drink Move Be Strong) dan Sekolah Pelaksanaan Penerapan Nilai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Jelasnya, kerjasama daripada PIBG melalui nilai kebersamaan, rasa kesepunyaan dan prihatin, nilai kesepakatan dan kekeluargaan yang tinggi antara sekolah dan ibu bapa akan dapat memastikan anugerah-anugerah pencalonan tercapai.

Mesyuarat Agung PIBG itu dihadiri oleh 267 ibu bapa dan 89 warga guru serta kakitangan SMK Kemena.

Pada majlis itu, ibu bapa berkongsi ‘hashtag’ atau tanda pagar untuk menjadikan SMK Kemena antara sekolah terbaik untuk menggapai kecemerlangan iaitu #SayangiSekolahku, #SMKKemenaKebanggaanku, #APlaceLikeNoOther dan #KemenaUSED.

Mesyuarat itu menyaksikan Nurul Jamal dan Mohammad Kawi masing-masing dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) dan Timbalan YDP PIBG SMK Kemena untuk sesi 2019-2021.

Sumber : Abang Ismail Abang Su’ud,Utusan Borneo

 

Posted by DUN N67 JEPAK on Saturday, 16 March 2019

Posted by DUN N67 JEPAK on Saturday, 16 March 2019

Posted by DUN N67 JEPAK on Saturday, 16 March 2019

Posted by DUN N67 JEPAK on Saturday, 16 March 2019