BINTULU:  Tawaran kursus Minyak dan Gas yang disediakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu menepati perkembangan kemajuan industri berkaitan minyak dan gas di Bintulu.

Malahan, dengan insiaitif Syarikat Mubadala Petroleum Malaysia yang menyalurkan biasiswa serta tajaan bagi kursus Oil & Gas Safety Passport (OGSP) kepada para pelajar dan tenaga pengajar di pusat itu akan menggalakan lagi usaha ke arah berkenaan.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, dengan kemasukan projek dari syarikat Mubadala Petroleum itu, ia dilihat akan mengembangkan lagi industri minyak dan gas di bahagian itu.

“Ia sekali gus akan membuka banyak peluang pekerjaan bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga dari luar,” katanya berucap merasmikan Majlis Penyerahan Biasiswa Mubadala Petroleum Malaysia kepada 10 pelajar jurusan Diploma Teknologi Pemasangan Paip Minyak dan Gas Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC)Bintulu di sini, petang semalam.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Jepak berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan dasar pentadbiran dan penyampaian kepada rakyat melalui kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di Bintulu.

Katanya ia merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi, perindustrian, sosial dan kebudayaan.

Pembangunan Bintulu sebagai hab gas asli cecair (LNG) negara diyakini mampu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama bahan api itu di peringkat global, tambahnya.

Majlis berkenaan semalam turut menyaksikan penyerahan replika cek daripada Pengurus Negara Mubadala Petroleum Malaysia Stefano Raciti kepada Pengarah ADTEC Bintulu Nasaruddin Mohammad sebagai tajaan biasiswa yang berjumlah RM36,160 sambil disaksikan Talib serta tetamu lainnya dan para pelajar penerima biasiswa.

Sumber:Utusan Borneo, Abang Ismail Su’ud