17 Jun 2021 : PPV (INDUSTRI) KAEDAH UNTUK MEMBAWA PUSAT VAKSIN KE KAWASAN INDUSTRI
SAMALAJU (Bintulu): Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri diwujudkan di kawasan industri seperti Samalaju untuk memudahkan ribuan pekerja industri mendapat vaksin, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg.
Sebagai contoh, kilang aluminium Press Metal di sini mempunyai 6,000 pekerja yang mungkin tidak berpeluang untuk mendapat vaksin di luar kerana keperluan tugas, kata beliau kepada pemberita dalam sidang media di penghujung lawatan singkat beliau ke sini pagi tadi.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Press Metal yang telah memberi kerjasama kepada SDMC untuk menubuhkan pusat vaksinasi di kilang tersebut yang juga akan menampung keperluan syarikat-syarikat lain di sekitar kawasan tersebut.
Samalaju Industrial Park mempunyai enam syarikat besar yang merangkumi Press Metal, OM Material Holding, OCI Malaysia, Malaysian Phosphate Additives, Pertama Ferroalloys, dan Sakura Ferroalloys.
Kawasan ini mempunyai jumlah pekerja sekitar 11,000 orang dan kebanyakan pekerja tinggal di kuarters dalam kawasan syarikat.
Datuk Patinggi Abang Jo menyatakan keyakinan penubuhan PPV (Industri) akan mempercepatkan proses pemberian vaksin, khususnya di Bintulu, supaya Bahagian Bintulu mampu mencapai sasaran untuk memberi vaksin kepada 80% rakyat yang layak berjumlah 200,000 menjelang Ogos hadapan.
Beliau menyatakan satu lagi pusat pemberian vaksin serupa akan ditubuhkan di kawasan Kidurong di mana terdapat banyak syarikat minyak dan gas dan kontraktor mereka beroperasi.
Beliau mengulangi pendekatan “suntik dulu baharu daftar” khususnya bagi kawasan Sebauh dan Tatau akan terus dipraktikan untuk mengatasi kesulitan pada aplikasi MySejahtera.
Rombongan Datuk Patinggi Abang Zohari termasuk Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.
Dalam perjalanan balik ke Lapangan Terbang Bintulu dari Samalaju Datuk Patinggi Abang Jo dan rombongan sempat singgah sebentar di sekatan jalan raya (SJR) di persimpangan menuju ke Sebauh untuk menyantuni para petugas di SJR tersebut dan menyampaikan bahan makanan kepada mereka.
Berita info daripada Ambrose Cheng