10 September 2021 : YB Datuk Talib Zulpilip merasmikan Upacara Pelancaran Projek Penyediaan Kemudahan di Kampung Warisan Jepak Bintulu.
PETIKAN UCAPAN YB Datuk:
1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin dan inayahNya, maka dapat kita berkumpul pada pagi ini dalam semangat dan iltizam yang tinggi sempena Upacara Pelancaran Projek Penyediaan Kemudahan Di Kampung Warisan, Jepak, Bintulu.
2. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan merasa amat berbesar hati di atas jemputan Lembaga Kemajuan Bintulu untuk menyempurnakan Upacara Pelancaran kita pada pagi yang berbahagia ini.
PERANCANGAN PEMBANGUNAN DI BINTULU
YBhg. Tuan Haidar Khan Bin Ashgar Khan, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu dan Hadirin yang saya hormati sekalian,
3. Untuk makluman hadirin sekalian, hari ini kita akan menyaksikan satu lagi sejarah dan berita baik untuk penduduk di Bintulu. Projek Pembangunan Semula Bandar Bintulu merupakan satu lagi peristiwa penting di Bahagian Bintulu ini. Ini adalah merupakan ilham sendiri dari YAB Ketua Menteri kita.
4. YAB Datuk Patinggi memang sejak dahulu lagi telah lama memperjuangkan penyediaan perumahan kepada seluruh rakyat Sarawak terutama sekali rumah mampu milik kepada mereka yang memerlukan.
5. Beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Bintulu atau lebih dikenali sebagai BDA telah mengarahkan agar merancang pembangunan di Bahagian Bintulu sejajar dengan status nya sebagai bandar perindustrian di Sarawak.
6. BDA telah membuat beberapa Kajian Pelan Pembangunan iaitu Pelan Perancangan Jepak pada 2019 dan di ikuti Pelan Perancangan Pembangunan Semula Bandar Bintulu pada 2020.
7. Pembangunan ala YAB Datuk Patinggi adalah
a) Peningkatan kualiti hidup.
b) Penyediaan kemudahan awam yang mencukupi seperti sistem perparitan yang baik, letrik, air, tempat beriadah, dan tempat bermasyarakat di samping penyediaan rumah yang tersusun dan teratur
PENYEDIAAN KEMUDAHAN PERPARITAN DAN KEMUDAHAN AWAM DI KAMPUNG WARISAN
8. Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan Negeri telah merancang untuk membangunkan semula kawasan di seberang ini dengan kemudahan-kemudahan yang mencukupi seperti Surau, Dewan Serba Guna dan sistem perparitan yang lebih teratur.
9. Projek pembinaan Surau dan Dewan Serba Guna berjumlah RM3.3 juta serta Projek Perparitan yang dianggarkan sebanyak RM3.5 juta akan disediakan untuk penduduk Kampung Warisan ini akan mengubah kawasan ini menjadi penempatan yang baharu dilengkapi dengan kemudahan – kemudahan awam yang baik dan tersusun sejajar dengan pembangunan bahagian Bintulu yang terkenal dengan status bandar perindutrian ini.
10. Pembangunan ini adalah disertai dengan program pembesaran Kampung Jepak yang akan didahului dengan anak – anak Kampung Jepak sendiri. Ini adalah berita baik untuk penduduk kampung Jepak.
11. Selain dari itu juga, di dalam Pelan Perancangan Pembangunan Semula Bandar ini, kawasan ini akan mempunyai kawasan komersial dan taman awam, Public Waterfront Promenade, Feri Terminal dan juga tempat riadah yang dilengkapi dengan kemudahan awam yang moden serta lanskap yang indah nanti.
KESIMPULAN
Hadirin yang saya hormati sekalian,
12. Akhir kata, Projek Penyediaan Kemudahan Perparitan di Kampung Warisan yang dilancarkan hari ini adalah satu inisiatif kerajaan negeri Sarawak untuk kemajuan dan kesejahteraan kepada semua penduduk. “Together We Make Bintulu Better”!!
13. Saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan semua agensi serta Jabatan yang terlibat yang telah memberi sepenuh komitmen dan sokongan terhadap penganjuran majlis ini.
14. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.